CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sunday, August 17, 2008

Suami lacur saya

KUALA LUMPUR: Seorang terpaksa manakala seorang lagi rela, tetapi situasi dihadapi tetap sama — dijual suami yang malas kerja tetapi mahu hidup senang, walaupun terpaksa makan hasil ‘duit lendir’.

Begitulah nasib dua wanita yang menjadi pelacur dan pelayan pelanggan (GRO) selepas mendirikan rumah tangga dengan lelaki dicintai yang kononnya sanggup hidup susah senang bersama-sama hingga ke akhir hayat.

Zulaika, 35, dan Amelia, 30, yang dipertemukan dengan Metro Ahad dengan pertolongan sumber yang pernah menggunakan khidmat kedua-dua wanita Melayu beragama Islam itu, menceritakan pengalaman masing-masing dalam dunia hitam penuh noda dan dosa.


Cerita Zulaika


Zulaika tidak menyangka suami yang diharapkan menjaganya dengan sempurna akhirnya sanggup menjadikan dia barang dagangan apabila tergamak menjualnya kepada bapa ayam untuk dijadikan pelacur di spa di Lembah Klang.

“Selepas setahun kami berkahwin, dia (suami) buat hal. Walaupun kami berkahwin atas dasar suka sama suka, sungguh tidak disangka dia tergamak menjual saya.”

Zulaika berkata, dia masih ingat pada malam tragedi hitam itu, suami membawanya bertemu seorang lelaki yang diperkenalkannya sebagai rakan kongsi perniagaan.

“Ketika itu saya tidak mengesyaki apa-apa kerana beranggapan itu hanya perjumpaan bisnes biasa.

“Darah saya berderau dan dada saya berdegup kencang apabila dia (suami) dengan selamba memberitahu, lelaki terbabit memberinya RM4,000 dan saya perlu bekerja dengannya di spa di sebuah hotel tiga bintang sebagai pelacur!

“Dia tidak pernah ceritakan apa masalahnya, tetapi dia kata perlukan duit untuk bayar hutang,” katanya.

Menurut Zulaika, dia terkejut dan kecewa dengan tindakan suami, tetapi apakan daya apabila berani membantah, dia ditampar berkali-kali dan diugut supaya menurut saja arahan.

“Suami saya kata lelaki itu bapa ayam dan saya tidak boleh lari ke mana-mana kerana saya pasti dapat diburu lelaki itu. Suami juga beritahu, jika saya tidak buat kerja itu, nyawa dia turut dalam bahaya.

“Mungkin orang akan persoal kenapa saya tidak lari saja. Masalahnya, saya dalam keadaan tertekan, lemah dan panik.

“Saya tidak mampu buat apa-apa, sudahnya saya terpaksa melacur juga,” katanya.

Zulaika berkata, lebih kejam lagi, rupa-rupanya suami durjana itu turut membuat perjanjian tambahan dengan bapa ayam itu.

“Setiap bayaran yang saya terima, duit daripada pelanggan itu dibahagikan 70:30 antara suami dan bapa ayam. Duit bahagian saya jadi milik suami sepenuhnya.

“Jika mahu wang, saya perlu minta daripada suami, tapi seksa sungguh hendak dapatkan duit daripada dia. Jarang sekali dia bagi bila saya minta duit.

“Alasannya, dia sudah beri duit untuk makan, minum dan pakaian saya,” katanya yang sungguh sayu ketika menceritakan penderitaan hidupnya.

Menurut Zulaika, selepas tiga bulan bekerja melayan nafsu pelanggan tanpa mengira kaum dan peringkat umur, akhirnya dia berbaik-baik dengan bapa ayam yang menjaganya hingga berpeluang mendapatkan bahagiannya sendiri.

“Bapa ayam yang menjaga saya termakan pujukan dan kasihan dengan keadaan saya. Dia bersetuju saya ambil sedikit bahagian suami saya,” katanya.

Menurut Zulaika, dia pernah cuba lari selepas enam bulan melakukan pekerjaan terkutuk itu, tetapi dia menerima padah apabila dapat dicari semula oleh suaminya.

“Ketika itu, hasil bantuan rakan pelacur lain, saya berjaya lari dan menumpang di rumah seorang rakan. Bagaimanapun, saya hanya sempat lari beberapa jam sebelum suami dapat kesan saya semula.

“Padahnya, saya terpaksa makan sepak terajang dan dipukul sesuka hati. Dia beri amaran keras supaya jangan cuba berani untuk lari,” katanya.

Zulaika berkata, suaminya memberitahu, satu hari nanti dia akan dibebaskan daripada spa berkenaan, tetapi semua itu hanya menjadi kenyataan apabila semua hutangnya dilangsaikan.

“Malangnya, tidak tahu berapa lama lagi baru dia tebus saya daripada kerja sial ini. Suami kaki judi dan kaki enjoy.

“Untuk mendapatkan wang cara mudah, dia meminjam wang daripada beberapa along. Kesudahannya saya menggadai maruah untuk melunaskan hutang dan memenuhi keperluan kewangannya.

“Selepas menjual saya, saya yakin dia masih lagi tidak bekerja dan hanya mengharapkan duit saya,” katanya yang tidak mendapat anak hasil perkahwinannya.



Cerita Amelia:

Bagi Amelia, kehidupan mewah yang dinikmati hasil melayan lelaki hidung belang membuatkan dia rela terus bekerja sebagai GRO.

“Memang suami jual saya kepada seorang rakan yang juga pengusaha sebuah pub dan karaoke. Ketika itu baru beberapa bulan lepas berkahwin.

“Kawan dia tawarkan saya kerja sebagai GRO di pub dan karaoke itu dan jika setuju, suami diberi RM5,000. Suami setuju dan dapat harga RM5,000,” katanya selamba.

Menurut Amelia, sikap suaminya yang pandai memujuk membuatkan dia merelakan tindakan suaminya.

“Hendak berkeras kepala pun leceh juga sebab mahu tidak mahu saya sudah dijual untuk melakukan kerja itu. Lagipun, saya bukan baik sangat. Nak buat pekerjaan lain tak pandai,” katanya yang tidak menunjukkan tanda sesal dengan perbuatannya.

Amelia berkata, hubungan mereka suami isteri juga tiada konflik atau masalah, apa lagi dalam soal kewangan.

“Suami ada kerja tetap dan saya juga bekerja. Malah, kadangkala suami jemput dan hantar saya ke tempat kerja,” katanya.

Menurut Amelia, dia tidak tahu sampai bila akan melakukan pekerjaan berkenaan tetapi selama setahun melakukan pekerjaan itu, kehidupan mereka suami isteri disifatkan menyeronokkan.

“Kami boleh beli apa saja yang mahu dibeli. Apa tidaknya, kerja sebagai GRO, saya boleh dapat hingga RM6,000 sebulan.

“Maklumlah tengah laris. Suami tidak kisah saya layan lelaki, asalkan dapat wang lebih,” katanya.

0 comments: