CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Saturday, July 12, 2008

Keistimewaan manusia sebagai khalifah di muka bumi

SESUNGGUHNYA Allah menghamparkan apa yang ada di langit dan bumi untuk dimanfaatkan manusia. Perhatikan bagaimana matahari bersinar memberi kehidupan di bumi, bintang berkelip menjadi tanda perhitungan dan bulan bersinar menentukan waktu. Semua itu manfaatnya untuk manusia. Allah menjadikan bumi begitu mudah bagi dijadikan tempat tinggal. Allah yang menakluki lautan sehingga di atasnya dapat belayar bahtera dan dari dalamnya diperoleh hasil makanan. Begitulah Allah memanjakan manusia di bumi ini. Perhatikan fenomena alam. Lihatlah tanah sebagai benda mati mengabdikan diri pada tumbuhan sehingga ia dapat tumbuh dengan subur. Tumbuhan mengabdikan diri pada haiwan sehingga haiwan mendapat makanan yang tidak pernah berkurangan.
Tanaman bersama haiwan mengabdikan diri kepada manusia sehingga manusia dapat memperoleh makanan dengan mudah. Itulah rantai makanan yang hakikatnya rangkaian pengabdian. Persoalan berikutnya adalah kepada siapa pula manusia perlu mengabdikan diri? Ingatlah, susunan pengabdian berlaku secara berangkai, iaitu daripada susunan paling bawah ke susunan paling atas. Tanah adalah benda mati yang mengabdikan diri kepada tanaman, tanaman mengabdikan diri kepada haiwan serta tanaman dan haiwan mengabdikan diri kepada manusia. Manusia sebagai makhluk begitu tinggi kedudukannya hanya dapat mengabdikan diri kepada Allah, Tuhan semesta alam. Mengetahui dan menyembah Allah adalah mengakui penciptaan manusia. Apabila ada yang tidak mengenal Allah dan mengabadikan jalannya sehingga dalam kehidupannya dia berjalan sesuka hatinya, sesungguhnya dia bukanlah manusia.
Manusia tidak hanya istimewa dibandingkan haiwan, tumbuhan dan makhluk lain. Manusia diberi keistimewaan oleh Allah lebih daripada jin dan syaitan, bahkan para malaikat pun diperintahkan oleh Allah sujud sebagai tanda penghormatan kepada manusia. Memang benar secara saintifiknya manusia dijadikan daripada unsur tanah yang apabila diuraikan satu persatu tidak ada nilainya. Apatah lagi selepas kematian datang, manusia menjadi tanah semasa tulang belulang dan seluruh anggota tubuhnya diurai oleh bakteria. Pada jasad yang lemah itu Allah meniupkan rohnya sehingga menjelma menjadi makhluk yang mulia. Kemuliaan ini menyebabkan malaikat diperintahkan Allah bagi menghormati manusia dengan cara bersujud. Dengan kemuliaannya itu manusia dijadikan oleh Allah sebagai khalifah iaitu pemikul amanah di muka bumi ini. Allah menjelaskan dalam firman yang bermaksud, “(Ingatlah) semasa Tuhanmu menjelaskan kepada malaikat, “Sesungguhnya aku akan menciptakan manusia daripada tanah. Apabila aku sempurnakan kejadiannya dan aku tiupkan kepadanya roh (ciptaan)ku, hendaklah kamu tersungkur dengan bersujud kepadanya.” (Surah Sad, ayat 71-72).
INFO: Keistimewaan kejadian manusia
Manusia diberi keistimewaan Allah lebih daripada jin dan syaitan, bahkan para malaikat pun diperintahkan oleh Allah sujud sebagai tanda penghormatan kepada manusia.
Tanaman bersama haiwan mengabdikan diri kepada manusia sehingga manusia dapat memperoleh makanan dengan mudah.
Manusia dijadikan oleh Allah sebagai khalifah iaitu pemikul amanah di muka bumi.

0 comments: